Gangguan bekalan air di Seremban esok dan Rabu

SEREMBAN - Beberapa kawasan di daerah Seremban akan mengalami gangguan bekalan air selama sembilan jam mulai pukul 9 malam esok (6 September).

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) Azlan Abdul Aziz berkata, penutupan sementara bekalan air itu dilaksanakan bagi kerja sambungan 'tee' di Kampung Kondok.

Kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air itu ialah Kampung Kondok, Kampung Jerangkang, seluruh kawasan Jimah, Felda LBJ, Felda Sendayan, Eka Matahari, Kampung Pulau, Taman Gadong Jaya 1, Taman Gadong Jaya 2 dan Kampung Jijan, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azlan berkata, bekalan air dijangka pulih pada pukul 6 pagi Rabu (7 Sept).

"Bagaimanapun, beberapa kawasan tinggi dijangka akan mengalami gangguan memandangkan pemulihan bekalan air sepenuhnya akan mengambil masa," katanya.

Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982.
- Bernama

[SUMBER]